Latar Belakang
Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan sebuah unit khas bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.
Tahun 2008 merupakan titik permulaan bagi MITRA apabila kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar melalui Jawatankuasa Kabinet (CCIC) untuk meningkatkan penyertaan masyarakat India dalam inisiatif Kerajaan. Pada tahun 2014, empat unit berasingan telah ditubuhkan untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat India Malaysia, iaitu Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas (SITF), Pelan Tindakan untuk Masa Depan Sekolah Tamil (PTST), Sekretariat Khas untuk Pemerkasaan Usahawan India (SEED) dan unit khas untuk Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC).
Seterusnya pada tahun 2017, Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) telah dilancarkan untuk mendokumentasi cabaran dan isu yang dialami oleh masyarakat India berserta dengan cadangan penyelesaian. Pada tahun yang sama keempat-empat unit tersebut telah digabungkan di bawah satu unit tunggal yang iaitu SEDIC.
SEDIC telah dijenama semula sebagai MITRA pada tahun 2018 yang diterajui oleh JPM. Antara fungsi utama MITRA adalah untuk mengenalpasti isu dan cabaran semasa masyarakat India Malaysia, melaksana inisiatif pembangunan sosioekonomi bagi masyarakat India Malaysia dan menyelaras kerjasama antara Kerajaan dan pihak swasta ke arah pembangunan masyarakat India Malaysia secara holistik.
MITRA telah dibahagikan kepada enam (6) buah seksyen yang berperanan untuk melaksana inisiatif pembangunan sosioekonomi masyarakat India Malaysia.
- Dasar dan Pengurusan
- Ekonomi dan Kerjaya
- Kesejahteraan Sosial
- Pendidikan dan Latihan
- Identiti dan Kecemerlangan Insaniah
- Projek Strategik
- Pemantauan
Seksyen ini menyelia perancangan strategik, penggubalan dan kajian semula dasar-dasar yang berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi komuniti India. Seksyen ini juga turut memberi input kepada pihak berkepentingan mengenai arah tuju MITRA dari segi inisiatif, projek dan program yang dijalankan oleh unit ini secara keseluruhannya.
Skop
(i) Perancangan Strategik;
(ii) Perancangan Polisi;
(iii) Penyelidikan & Pembangunan;
(iv) Audit & Tahap Kepatuhan;
(v) Focal Point MITRA; dan
(vi) Urusan Pentadbiran.
Fokus utama seksyen ini adalah ke arah penambahbaikan taraf kehidupan masyarakat India Malaysia sejajar dengan agenda pembangunan nasional. Inisiatif yang dirangka oleh Seksyen ini akan membolehkan lebih banyak masyarakat terlibat dalam bidang keusahawanan digital, menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang terkini dan lebih bersedia untuk peluang pekerjaan baru.
Skop
(i) Latihan kemahiran serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET);
(ii) Latihan dan bimbingan keusahawanan;
(iii) Bantuan peralatan dan mesin;
(iv) Pemadanan pekerjaan;
(v) Bantuan atau insentif pertanian/ penternakan/ perikanan/ pelancongan dan perkhidmatan; dan
(vi) Kursus pemasaran dan pendigitalan.
*MITRA tidak menyediakan sebarang pinjaman perniagaan, geran perniagaan dan subsidi perniagaan.
Seksyen ini berfungsi untuk menambahbaik sistem sokongan sosial seperti sistem keluarga, etnik, agama, dan sosial di peringkat komuniti. Antara fungsi utama Seksyen ini adalah untuk meningkatkan peluang masyarakat India Malaysia khususnya yang dikategorikan sebagai B40 untuk mendapatkan bantuan dan sokongan kebajikan yang sedia ada. Kesejahteraan sosial merupakan faktor utama ke arah mencapai perpaduan dan kestabilan sosial, daya tahan dan kemakmuran masyarakat India Malaysia secara keseluruhan.
Skop
(i) Bantuan keperluan asas;
(ii) Bantuan khidmat rawatan kesihatan dan alat perubatan;
(iii) Bantuan mangsa bencana;
(iv) Program kerohanian dan kesejahteraan sosial; dan
(v) Bantuan kepada rumah kebajikan.
Seksyen ini menekankan kepentingan pendidikan dan pembelajaran bagi semua segmen masyarakat, termasuk kanak-kanak, pelajar, remaja dan belia serta orang dewasa. Seksyen in berfungsi untuk memastikan pencapaian yang seimbang dalam pengetahuan, kemahiran serta nilai moral. Aspirasi pendidikan dan latihan adalah berlandaskan enam faktor termasuk etika dan kerohanian, kemahiran kepimpinan, identiti kebangsaan, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan pengetahuan.
Skop
(i) Program pembangunan modal insan dan minda;
(ii) Program pendidikan, latihan dan kemahiran;
(iii) Bantuan subsidi kewangan pendidikan; dan
(iv) Bantuan keperluan pengajaran dan pembelajaran.
Seksyen ini berfungsi sebagai agen transformasi dalam inisiatif yang berkaitan dengan aspek agama, kerohanian dan kefahaman budaya. Inisiatif tersebut akan menggalakkan pemikiran bermoral, tingkah laku yang baik serta gaya hidup yang sederhana dalam masyarakat melalui agama dan kerohanian yang seterusynya menghasilkan masyarakat India Malaysia yang holistik dari segi fizikal, emosi dan rohani.
Sekyen ini berfungsi sebagai agen pelengkap kepada kesemua inisiatif dan perancangan MITRA bagi memastikan pelaksanaan yang lebih berstruktur, efisien dan menyeluruh. Bahagian ini akan menyelaras dan bekerjasama dengan seksyen dalaman MITRA dan stakeholders lain bagi pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi yang telah dirancang serta mengumpul segala data-data yang berkaitan masyarakat India.
Seksyen ini merancang operasi pemantauan dan berfungsi sebagai penyelaras pemantauan pelaksanaan program sambungan dan baharu MITRA secara berkala serta menyelaras dan melaksana audit dalaman dokumen organisasi.