SEJARAH MASYARAKAT INDIA MALAYSIA

Pengaruh kaum India ke atas Tanah Melayu boleh dikesan seawal abad pertama mengikut rekod kajian para pengkaji sejarah. Kaum India telah mula aktif di nusantara ini sebagai pedagang dari India yang berdagang barang-barang berharga pada masa itu seperti fabrik, besi, rempah-ratus, emas dan sebagainya. Kaum India juga merupakan antara golongan yang paling dihormati pada masa itu, kerana berperanan sebagai pengukir arca yang mahir dan berperanan dalam urusan diplomasi dan ilmu laut. Tidak boleh dinafikan pada suatu masa dahulu, kapal-kapal maritim India pernah berlabuh di perairan ini secara megah. Kebanyakkan pedagang-pedagang India telah berkahwin dengan penduduk sini dan telah memulakan penempatan di sini. Ditambah pula, dengan Penaklukkan Rajendra Chola ke atas Kedah Tua (Kadaram), Empayar Sriwijaya dan yang lain pada abad ke-11 yang menyaksikan peninggalan kesan yang boleh dilihat sehingga kini seperti Batu Nandi, Batu Bersurat Sungai Mas, Patung Avalokiteswara, kebanyakkan candi-candi dan peninggalan arkeologi sejarah. Kaum India telah sejak itu, memainkan peranan yang cukup luas dalam perkembangan nusantara ini sebelum kemasukan kuasa jajahan asing. Tambahan pula semasa era kesultanan Melayu Melaka dan penaklukkan kuasa portugis seterusnya kuasa belanda, lebih ramai kedatangan masyarakat India yang hadir sebagai pedagang dan menetap di sini. Kewujudan kuil ‘Sri Poyatha Moorthy’ yang merupakan kuil yang dibina pada masa itu adalah bukti nyata. Juga tidak dilupa penemuan ukiran hindu di Sungai Udang, Melaka dan penemuan ‘Makaram’ yang menjadi kemegahan.

Pada zaman kolonial British, Penghijrahan orang India ke Tanah Melayu secara beramai bermula pada pertengahan abad ke-19. Migrasi ini berlaku disebabkan oleh campur tangan British di India dan penaklukan British ke atas Tanah Melayu. Sebelum penjajahan British, orang India datang ke Tanah Melayu sebagai pedagang barangan yang sukar didapati di Tanah Melayu. Orang India dibawa ke Tanah Melayu sebagai buruh di kawasan perladangan. Orang Eropah juga menggunakan pengaruh politik mereka membawa masuk buruh India ke Tanah Melayu melalui ejen yang dilantik di India. Penindasan terhadap wanita India, peminggiran mengikut kasta membebankan mereka serta tekanan daripada masyarakat India kelas pertengahan dan tinggi menyebabkan migrasi masyarakat India secara beramai. Keaddan ekonomi juga memberikan tekanan kepada orang India untuk migrasi ke Tanah Melayu. Migrasi orang India ke Tanah Melayu bermula sejak 1786 sebagai pembantu rumah dan pekerja peladang. Jawatan ini ditawarkan dengan pembukaan pejabat koloni British di Pulau Pinang. Jumlah migrasi semakin meningkat selepas pembukaan Singapura pada tahun 1819. British bertindak untuk mengambil banduan India sebagai buruh ke Tanah Melayu disebabkan oleh bekalan pekerja yang tidak mencukupi dan permintaan yang tinggi melalui projek-projek yang diusahakan oleh para peladang dan kerajaan pada ketika itu seperti pembinaan landasan keretapi, jalan raya dan pertanian. Peladang-peladang Eropah lebih suka jmengambil buruh India kerana mereka rajin, mudah dilatih, murah dan senang dikawal serta senang dieksploitasi.

Selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, kehadiran masyarakat imigran terutama orang India dan Cina telah mewujudkan struktur masyarakat baru di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Kewujudan kaum imigran ini bukan sahaja mengubah wajah masyarakat Tanah Melayu tetapi juga telah menyumbang kepada banyak aspek sosial dan ekonomi. Kerajaan telah menjalankan stratregi penyusunan semula masyarakat untuk selesaikan masalah kedudukan yang tidak seimbang dari segi penguasaan ekonomi. Kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha dan strategi untuk memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia agar bergiat aktif dalam sektor ekonomi. Pembangunan dalam sektor pendidikan negara adalah semakin pesat apabila banyak sekolah dibina. Pada tahun 1996, Penyata Razak telah digubal sebagai salah satu langkah penting untuk mengubal dasar pendidikan negara. Pengubalan dasar ini telah meningkatkan status sekolah-sekolah tamil, di ladang apabila sekolah mereka dinaik taraf kepada sekolah jenis kebangsaan tamil. Hasil daripada kandungan Penyata kandungan Razak, Bahasa Tamil telah dibenarkan memasuki mata pelajaran peringkat sekolah rendah dan menengah. Dari segi ekonomi, wujudnya dasar pecah dan perintah yang telah diketuai oleh orang Inggeris. Antara sebab wujudnya dasar pecah dan perintah ialah bagi memisahkan kaum-kaum, mengekalkan penduduk pribumi di kampung untuk menjalankan aktiviti pertanian. Pelaksanaan dasar pecah dan perintah Inggeris telah mengeruhkan perpaduan masayarakat di Tanah Melayu. Hal ini telah menyebabkan wujudnya pengelasan kaum dari segi pekerjaan dan sistem pelajaran di anatara Melayu, Cina dan India. Perkara ini telah mengundang kepada peristiwa hitam pada 13 Mei 1969, rusuhan kaum yang menyebabkan banyak nyawa terkorban. Ekoran daripada peristiwa tersebut, kerajaan telah merangka satu dasar bersepadu iaitu dasar ekonomi baru (DEB) yang telah diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato Hussein bagi mengurangkan dan membasmi kemiskinan dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan untuk semua kaum serta mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat bagi mengimbangkan sosioekonomi.

 

Sumber :

Elangko a/l Muniandy. (2015). Perkembangan Sosioekonomi Masyarakat India Sebelum dan Selepas Dasar Ekonomi Baru (1957-2000). Universiti Malaysia Sabah.

Kernial Singh Sandhu. (1961). Indian Migration and Population Change in Malaya, c.100-1957 A.D.: A Historical Geography. University of British Columbia.