LATAR BELAKANG MITRA

Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) merupakan sebuah unit khas bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia khususnya golongan B40.

Tahun 2008 merupakan titik permulaan bagi MITRA apabila kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar melalui Jawatankuasa Kabinet (CCIC) untuk meningkatkan penyertaan masyarakat India dalam inisiatif Kerajaan. Pada tahun 2014, empat unit berasingan telah ditubuhkan untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat India Malaysia, iaitu Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas (SITF), Pelan Tindakan untuk Masa Depan Sekolah Tamil (PTST), Sekretariat Khas untuk Pemerkasaan Usahawan India (SEED) dan unit khas untuk Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC).

Seterusnya pada tahun 2017, Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) telah dilancarkan untuk mendokumentasi cabaran dan isu yang dialami oleh masyarakat India berserta dengan cadangan penyelesaian. Pada tahun yang sama keempat-empat unit tersebut telah digabungkan di bawah satu unit tunggal yang iaitu SEDIC.

Pada tahun 2018, SEDIC telah dijenama semula sebagai MITRA yang kini diterajui oleh KPN. Antara fungsi utama MITRA adalah untuk mengenalpasti isu dan cabaran semasa masyarakat India Malaysia, melaksana inisiatif pembangunan sosioekonomi bagi masyarakat India Malaysia dan menyelaras kerjasama antara Kerajaan dan pihak swasta ke arah pembangunan masyarakat India Malaysia secara holistik.